Saturday, 12 September 2015

Bab 2 Kesantunan Berbahasa

2.1       Konsep Kesantunan
            Kesantunan menurut Kamus Dewan (1984), hal. 1115 bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Apabila seseorang itu berbahasa dengan santun penggunaan bahasa adalah secara halus, nilai rasa yang baik, penuh kesopanan serta berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi.
            Secara amanya konsep kesatunan sangat luas dan merangkumi aspek-aspek berikut:
i.              Kesantunan mencerminkan nilai kesopanan yang halus
Orang yang santun tergambar nilai sopan santun atau nilai etiket pada dirinya semasa berkomunikasi dengan ahli masyarakat.

ii.             Kesantunan sangat kontekstual
Nilai kesantunan berlaku pada tempat, atau situasi tertentu, tetapi belum tentu berlaku dalam masyarakat, situasi dan tempat lain. Misalnya, penggunaan kata-kata agak kasar boleh berlaku dalam pergaulan rakan-rakan karib, tetapi tidak sopan jika digunakan terhadap rakan yang baru dikenali. Penggunaan kata ganti ‘aku’ dalam perbualan dengan ibu bapa biasa digunakan dalam masyarakat Cina, tetapi tidak sopan dalam bagi masyarakat Melayu.

iii.            Kesantunan selalu berlaku dalam hubungan dua pihak
Misalnya antara anak dan orang tua, antara orang yang masih muda dan orang yang lebih tua, antara tuan rumah dan tamu, antara lelaki dan wanita, antara murid dan guru, dan sebagainya. Seorang anak sentiasa akan menghormati dan berbahasa santun dengan ibu b apa. Namun mungkin tidak berlaku jika anak ini berkomunikasi dengan rakan-rakan sebaya, ada ketikanya komunikasi dalam bentuk bahasa kasar.

iv.           Kesantunan tercermin dalam setiap aspek kehidupan
Misalnya cara berpakaian, cara bekerja, cara bertutur, cara makan cara belajar, cara berpolitik dan lain-lain.

2.2       Takrifan Kesantunan oleh Tokoh-tokoh Dunia
            Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar. Nilai kesantunan masyarakat Melayu berdasarkan agama Islam dan adat Melayu.
            Kesantunan telah terbahagi kepada dua jenis seperti yang dijelaskan oleh Asmah Hj Omar, iaitu :
i.              Kesantunan asas
Kesantunan asas ialah kesantunan sedia ada yang merupakan pedoman bagi masyarakat berhubung antara satu sama lain

ii.             Kesantunan berkala
Kesantunan berkala merujuk kepada kesantunan yang menggambarkan ucapan yang dilakukan oleh masyarakat dalam hubungan antara satu sama lain bergantung kepada keadaan, situasi dan tempat tertentu.
            Leech (1993), menginterprestasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. J. Ferguson dan Das Gupta (1968) pula menyatakan kesantunan itu berlakuj apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.
            Menurut Hamka kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Menurut Aristotle, ketinggian darjat sesorang diukur melalui akal dan adabnya, bukan asal keturunannya. Menurut Khalifah Abdul Malik Marwan, semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan orang lain ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi yang berlaku sama ada secara verbal atau nonverbal. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubugan yang harmoni dalam komunikasi.
            Jadi kesantunan ialah perlakuan yang sopran dan berbudi bahasa semasa berkomunikasi bagi menghormati individu lain. Kesantunan berbahasa merangkumi kesopanan dan kehalusan ketika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan atau tulisan. Kesantunan berbahasa juga menitikberatkan penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.
            Kesimpulannya, kesantunan berbahasa melibatkan penggunaan bahasa halau semasa berinteraksi, penggunaan kosa kata, kata ganti dan sebagainya. Kesantunan berbahasa juga terdiri daripada kesantunan verbal dan nonverbal. Kesantunan dapat dilihat dari pelbagai segi dalam pergaulan sehari-hari yang sangat luas. Kesantunan merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada secara lahiriah atau batiniah. Kesantunan yang tulen perlulah disertai dengan niat yang ikhlas.
            Hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan (2007) bahawa kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab memancarkan pribadi mulai dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang tertentu. Kalau kita menjadikan pakaian kita sebagai cara untuk menutup segala keaiban fizikal kita, maka ini juga merupakan suatu bentuk kesantunan. Peraturan bahasa yang menjadi asas kepada kesantunan bahasa seperti yang dikatakan oleh Asmah Omah perlu dilihat kepada tiga jenis iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik.
2.3       Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan
            Kesantunan melibatkan perbuatan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Justeru kesantunan merupakan usaha untuk mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa konflik.
            Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka (Asmah, 2000). Muka sangat berkait rapat dengan maruah diri sehingga tercipta pelbagai peribahasa yang berkaitan dengan muka. Maruah dan harga diri seseorang perlu dijaga dengan berpegang kuat pada konsep malu (penjagaan air muka). Konsep malu dalam masyarakat Melayu adalah bertujuan untuk menjaga maruah dan air muka.
            Mulut ialah salah satu anggota yang sangat perlu dijaga memandangkan mulut merupakan bahagian anggota yang mengungkapkan kata dan anggota yang paling hampir dengan muka. Orang Melayu juga tidak boleh menerima orang yang menggunakan mulutnya untuk menyampai-nyampaikan cerita orang lain daripada seorang kepada seorang yang lain sehingga dia dikatakan seperti “mulut tempayan”. Penjagaan lidah sama penting dengan penjagaan mulut kerana itu ada pribahasa yang berkaitan dengan lidah yang buruk seperti “lidah bercabang”, “lidah buaya”, “lidah tidak bertulang”.
2.4 Kesantunan Merentas Budaya
            i.          Konsep
Budaya atau kebudayaan yang berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal. Kebudayaan mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Edward B. Taylor melihatbudaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Kamus Dewan (2002), mendefinasikan budaya sebagai tamadun atau peradaban atau akal budi (cara berfikir, kelakuan dan lain-lain).
Kebudayaan dan kesantunan mempunyai hubugan yang sangat erat. Kebudayaan  merangkumi cara hidup bermasyarakat yang merangkumi aspek kesantunan dalam berkomunikasi sama ada secara verbal ataupun nonverbal.
ii.          Komunikasi silang budaya
Konsep kesantunan tidak harus tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja. Konsep kesantunan merentas budaya yang pelbagai. Pemahaman tenatang apa yang dikatakan santun dalam pelbagai budaya harus diberi penekanan dalam proses berkomunikasi.
Dengan kata yang lain, komunikasi silang budaya ialah komunikasi dengan mereka yang berlainan etnik dan jantina dalam pelbagai konteks seperti konteks pendidikan, politik, teknologi dan lain-lain. Budaya dan komunikasi mempunyai hubungan yang rapat. Budaya akan mempengaruhi cara kita berkomunikasi.
Pandangan mata secara terus juga dianggap tidak sopan kerana tidak merandah diri iaitu asas utama dalam budaya komunikasi masyarakat Jepun. Berbeza pula dengan budaya masyarakat Barat yang sekiraanya seseorang itu tidak melakukan pandangan mata beliau dianggap menyimpan muslihat dan bersikap sangsi terhadap sesuatu.
iii.            Nilai-nilai Kesantunan Masyarakat Melayu
a.    Berpegang kuat pada adat resam dan agama
b.    Memberi salam apabila bersua muka
c.    Tidak menyampuk semasa orang tua bercakap
d.    Penggunaan kata sapaan yang sesuai mengikut konteks
e.    Penggunaan kata gelaran yang sesuai mengikut konteks
f.     Panggilan yang baik kepada seseorang
g.    Bersalam

iv.           Nilai-nilai Kesantunan Masyarakat Cina
a.    Tunduk ketika memberi salam
b.    Orang tua makan dahulu
c.    Tunggu sehingga semua ahli keluarga tiba dulu
d.    Dalam tokong tidak dibenarkan memakai topi
e.    Menanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam rumah

v.            Nilai-nilai Kesantunan Masyarakat India
a.    Duduk bersila semasa makan
b.    Tidak membazirkan makanan
c.    Senyap semasa bersembahyang
d.    Menanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam kuil
e.    Mematuhi adat dan resam
f.     Salam orang tang lebih tua

vi.           Kesantunan Merentas Budaya dalam Pendidikan
a.    Kesantunan berpakaian
Peraturan Tatatertib dan Kelakuan bagi pengawai awam. Guru tidak boleh berpakaian yang merangsang pelajar terutamanya dari segi jantina yang berbeza contohnya berpakaian tembus pandang, menampakkan bahagian badan, pakaian yang terlalu mini atau terbelah terlalu tinggi

b.    Kesantunan tingkah laku
Gerak geri guru ketika menghadapi sesuatu dalam situasi tersebut. Contohnya berurusan dengan ibu bapa yang datang ke sekolah, duduk di dalam kelas, berhadapan dengan orang yang kita hormati seperti guru besar atau pegawai dari jabatan, berjalan di tempat umum dan sebagainya. Tingkah laku guru menjadi model kepada anak didik.

c.    Kesantunan berkomunikasi
Ketika berkomunikasi guru perlu mengambil kira norma-norma budaya dan tidak hanya sekadar menyampaikan idea yang difikirkan sahaja. Cara berbahasa harus disesuaikan dengan unsur-unsur budaya yang ada dalam masyarakat setempat. Perkataan atau bahasa yang digunakan perlulah sesuai dengan situasi ketika berkomunikasi. Guru yang tidak dapat menggunakan kesantunan berbahasa dengan betul mungkin aka dianggap sebagai seorang yang sombong, angkuh, tak acuh, egois, tidak beradat, bahkan tidak berbudaya.

No comments:

Post a Comment